KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan dua hari bermula 13 Ogos untuk perbicaraan kes saman fitnah bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap seorang kontraktor atas dakwaan memuat naik pernyataan berunsur fitnah di laman Facebooknya, tahun lepas.
Peguam Shahid Adli Kamarudin, yang mewakili Zaid Omar ketika ditemui pemberita berkata Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril menetapkan 13 dan 17 Ogos ini untuk perbicaraan kes saman berkenaan ketika pengurusan kes di dalam kamarnya, hari ini.
Pada 12 Dis 2017, Ismail Sabri selaku plaintif menyaman Zaid, yang juga anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selepas mendakwa Zaid selaku defendan telah memuat naik dan menyiarkan pernyataan fitnah terhadap plaintif melalui akaun Facebooknya di bawah profil ‘Zaid Bera’ pada 26 Sept 2017.
Anggota Parlimen Bera itu mendakwa pernyataan fitnah tersebut antara lain membawa maksud bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa yang diberi kepadanya sebagai menteri dan melangkaui bidang kuasa serta mengenepikan Ketua Pengarah di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Pahang dan Giat Mara Cawangan Bera dalam pemilihan kontraktor tempatan untuk projek pemulihan perumahan kos rendah di Bera.
Plaintif mendakwa pernyataan fitnah itu juga membawa maksud bahawa beliau telah mengeluarkan arahan kepada Giat Mara Cawangan Bera bahawa pemilihan kontraktor tempatan di daerah berkenaan akan dijalankan secara tender tertutup selain mendakwa beliau mengarahkan taklimat kerja kementerian dijalankan di pejabat UMNO dan tidak layak menjadi seorang menteri.
Katanya, perkataan fitnah itu adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat sehingga menjejaskan kedudukan, reputasi peribadi dan politik serta karakternya.
Oleh itu, Ismail Sabri menuntut ganti rugi am RM500,000, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama.
Zaid dalam penyataan pembelaannya mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan itu di bawah keadaan perlindungan bersyarat tanpa sebarang niat jahat dan perkataan yang didakwa fitnah itu adalah satu komen berpatutan membabitkan isu kepentingan awam.
Defendan juga mendakwa komen berkenaan adalah bertujuan untuk menyuarakan pendapat berhubung kelemahan dan kepincangan sistem pemberian kontrak oleh KKLW. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..