NILAI – Budaya kesukarelawan dalam kalangan generasi muda perlu diperhebatkan kerana ia mampu meningkatkan semangat cintakan negara, saling hormat menghormati dan toleransi antara kaum di negara ini, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau sehubungan itu mencadangkan semua pihak relevan khususnya pengurusan universiti meningkatkan aktiviti kesukarelawan dan khidmat bakti dalam kalangan mahasiswa melalui kokukurilum.
“Mahasiswa perlu didedahkan dengan ilmu pengetahuan selain akademik seperti kemahiran kendiri yang menguji ketahanan mental dan emosi mereka… mahasiswa yang berkebolehan serta berkeyakinan mempunyai nilai kualiti dan semangat patriotisme yang tinggi.
“Ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan yang mentadbir hari ini di mana penekanan diberikan dalam usaha mewujudkan keharmonian dan jati diri yang utuh, (khususnya) bersempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini, bertemakan Sayangi Malaysiaku,” katanya pada majlis Pentauliahan Pangkat dan Perhimpunan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) peringkat kebangsaan kali ke-9 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka IR. Dr Siti Hamisah Tapsir. Turut hadir Pemangku Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Roslan Wahab dan Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad.
Maszlee berkata mahasiwa yang ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam pada hari ini diharap agar secara berterusan mengaplikasikan segala kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi dengan memanfaatkannya kepada masyarakat sama ada di peringkat komuniti atau persekitaran kerja mereka nanti.
“Penglibatan tuan puan di peringkat komuniti penting bagi memastikan tindakan awal dapat diambil sekiranya berlaku bencana yang mana ia dapat diatasi dalam kadar segera, ini juga salah satu sumbangan tuan puan untuk berbakti,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 818 mahasiswa daripada 24 institusi pengajian tinggi awam dan dua institusi pengajian tinggi swasta ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam. – BERNAMA