KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini mengakui program Biro Tatanegara (BTN) yang diperkenalkan kerajaan terdahulu mempunyai unsur indoktrinasi politik.
Anggota Parlimen Rembau itu turut berkata Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 1.0 juga mempunyai unsur itu namun ia tidak begitu ketara.
“Menurut saya PLKN 2.0 tidak (tiada indoktrinasi) kerana ia lebih kepada program kenegaraan, saya terlibat sama bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Bekas Menteri Pertahanan) dalam merangka program itu, kita tekankan aspek kemahiran. (Tetapi) BTN memanglah (ada),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kerajaan bersetuju untuk memansuhkan PLKN dan BTN berkuatkuasa segera.
Menurut Syed Saddiq keputusan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu setelah mendapati PLKN dan BTN telah disalah guna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.
Jelasnya, kedua-dua program berkenaan akan digantikan dengan program baharu yang akan memberi fokus dalam membentuk belia yang berwawasan. – BERNAMA