BEBAS… Rakyat Malaysia kini bebas sebar segala berita palsu setelah Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 dalam sidang hari ini.
Malahan RUU baharu itu berjaya diluluskan selepas bacaan kali ketiga dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), menurut laporan media tempatan.
Beliau berkata, undang-undang tegas berkenaan yang digubal ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah sebelum ini dikhuatiri kononnya akan menyebabkan ada pemimpin PH yang menjadi mangsa pendakwaan politik.
“Memang tidak pernah ada lagi pendakwaan atas tujuan politik sebab akta ini pun baru beberapa bulan sahaja, bayangkan kalau BN menang pilihan raya umum (PRU), tentu akan ada yang jadi mangsa pendakwaan politik.
“Ahli Parlimen Langkawi ada disiasat di bawah akta ini, katalah BN menang kemungkinan Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal didakwa kerana penyiasatan akan mempunyai kaitan dengan politik,” dalih Mohamed Hanipa.
Ia merujuk insiden Pengerusi PH itu sengaja sebar berita palsu konon pesawat mewah dinaikinya dari Subang ke Langkawi semasa kempen PRU disabotaj BN untuk bunuh beliau agar tidak menang dan menjadi perdana menteri.
Mohamed Hanipa beri alasan bodoh itu ketika gulung perbahasan RUU tersebut. Namun pengamat politik tempatan lihat pemansuhan akta itu lebih bermotifkan politik bagi elak jentera kempen siber PH didakwa kerana sebar fitnah.
Umum maklum, BN kalah teruk pada PRU ke-14 lalu ekoran penularan berita palsu disebarkan secara berleluasa oleh netizen propaganda PH terutama melibatkan imej pemimpin UMNO yang ditohmah tanpa ada bukti kukuh.
Isu itu turut dibangkitkan oleh mantan Ketua Pemuda UMNO dan Pemuda BN, Khairy Jamaluddin yang dakwa PH menang akibat rakyat dihasut dengan ‘permainan’ fitnah jahat semasa kempen PRU lepas. – Agensi/Mynewshub.TV