KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang awam agar tidak keliru dengan produk Anti HFMD/Flu Spray berjenama Thymos di pasaran yang mendakwa dapat memberi pertahanan sepenuhnya terhadap virus penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan Influenza A.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syarikat pengeluar telah dengan jelas melabelkan bahawa produk yang diperbuat daripada mineral yang diaktifkan itu boleh membunuh dengan serta merta 99.99 peratus virus-virus HFMD dan Influenza A.
“Buat masa ini, pihak syarikat didapati membuat tuntutan anti HFMD yang tidak berasas kerana tiada bukti yang kukuh menunjukkan tuntutan tersebut adalah berkesan seperti dilabelkan.
“Namun begitu, memandangkan produk ini tidak digunakan secara langsung pada manusia, maka produk ini bukanlah di bawah kawalan KKM dan tiada keperluan untuk pendaftaran di bawah agensi berkaitan di bawah KKM,” katanya dalam satu kenyataan.
Produk penyahjangkitan atau pembunuh kuman tersebut adalah untuk kegunaan luaran dengan cara menyemburnya pada baju, permukaan, permainan dan juga topeng.
KKM berkata, syarikat itu telah dinasihatkan untuk mengeluarkan tuntutan Anti HFMD/Flu bagi pasaran di Malaysia dan menggantikan dengan tuntutan yang lebih umum serta bersesuaian di label produk bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang awam.
Orang awam disarankan mengamalkan lima perkara utama dalam pencegahan dan kawalan HFMD, iaitu penjagaan kebersihan diri; amalan cuci tangan yang betul; penjagaan kebersihan persekitaran; pemeriksaan/saringan di pintu masuk taska/tabika/tadika/pra-sekolah; dan disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar. – BERNAMA