KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengambil peranan serius untuk mengenengahkan reka cipta dan paten berjenama tempatan di peringkat global.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO, Mohd. Shahar Osman berkata, pihaknya akan memberi perhatian yang serius terhadap hasrat itu serta akan memulakan langkah dalam memastikan ianya tercapai.
“MyIPO akan menggunakan kriteria-kriteria daripada Anugerah Harta Intelek Negara mulai tahun 2005 di mana data-data itu akan dikumpulkan dan digunakan untuk memastikan hasil-hasil ini telah dipatenkan dan dikomersialkan.
“Selepas itu kita akan lihat sama ada jenama-jenama Malaysia ini dapat diperkenalkan di peringkat global,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Tabung Harapan Malaysia di sini hari ini.
MyIPO hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 untuk Tabung Harapan Malaysia.
Sumbangan diserahkan Mohd. Shahar kepada Saifuddin Nasution sempena lawatan rasmi beliau ke MyIPO. – UTUSAN ONLINE