TURKI sedang mengalami krisis matawang dan hubungan dagang dan diplomatik dengan Amerika Syarikat yang semakin tegang.
Pentadbiran Trump telah mengenakan tarif lebih tinggi ke atas besi keluaran Turki dan menghalang penghantaran pesawat yang telah dibeli dari syarikat AS.
AS juga menuntut seorang paderi yang ditahan oleh Turki atas dakwaan merisik dibebaskan. Ankara berkeras enggan berbuat demikian.
1. Perang perdagangan
Pentadbiran Trump telah mengenakan cukai 20 peratus pada import aluminium dan 50 peratus pada keluli dari Turki, kadar lebih tinggi daripada dikenakan pada negara lain yang diumumkan pada Mac. Ini memburukkan lagi ekonomi Turki yang menyaksikan matawangnya lira merosot sejak beberapa bulan lalu dan jatuh teruk sejak Recep Tayyip Erdogan menang pilihan raya presiden beberapa bulan lalu.
2. Krisis diplomatik
Sejak cubaan rampasan kuasa pada 2016, Turki mengaitkan AS sebagai dalang, dan menuntut Fethullah Gulen yang tinggal di AS diekstradisi ke Turki untuk berdepan tuduhan. AS enggan melayan tuntutan Turki. Turki juga menahan paderi AS yang didakwa terlibat dalam perisikan. Paderi tersebut telah terlibat dalam beberapa aktiviti meragukan. AS menuntut Turki segera membebaskan paderi terbabit.
3. Isu senjata
Turki ialah sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), tetapi telah membeli sistem peluru berpandu S-400 dari Rusia. Keputusan ini ditentang hebat oleh AS dan NATO tetapi Turki berkata senjata itu diperlukan untuk pertahanannya, dan AS tidak membekalkan senjata serupa. AS kini menghalang pesawat F-35 yang sudah dibeli daripada dihantar untuk kegunaan Turki.
4. Hubungan dengan EU
Turki lebih menjaga hubungan dengan Eropah walaupun hubungan dengan AS makin keruh. Turki dan Kesatuan Eropah (EU) telah mencapai perjanjian yang menghadkan migrasi dari Turki ke Eropah sejak beberapa tahun lepas, yang dibalas dengan bantuan kewangan dari Eropah. Setakat ini, Turki kelihatan tidak mahu menjejaskan perjanjian ini dan mahu hubungan dengan Eropah kekal stabil.
5. Hubungan dengan Rusia
Turki semakin rapat dengan Rusia dan Iran, dua negara yang bersaing kuat dengan Ankara. Erdogan dan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Iran Hassan Rouhani kerap bertemu membincangkan isu serantau terutamanya penyelesaian konflik Syria. Kepentingan bersama terutama melibatkan hubungan dengan AS memudahkan lagi hubungan rapat antara Turki dengan Rusia dan Iran. Qatar, sekutu Arab Turki telahpun berikrar memberi bantuan. – Mynewshub.tv