GEORGE TOWN – Sekumpulan 30 orang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penguna jalan raya hari ini menyerahkan memorandum menyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar meneruskan projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Memorandum yang ditandatangani lebih 1,000 orang itu diserah oleh wakil kumpulan itu, Mohd Nasarudin Sultan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.
Kumpulan itu membawa sepanduk dengan slogan yang menyatakan sokongan terhadap projek yang dianggap memberi manfaat kepada orang ramai itu. PTMP mengandungi tiga projek utama iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Link (PIL) dan Penang South Reclamation (PSR).
Mohd Nasarudin yang bekerja kilang di Bayan Lepas berkata projek itu sangat bermakna kepada penguna lalu lintas terutama pekerja kilang di kawasan itu kerana ia dapat mengatasi masalah lalu lintas yang semakin teruk sekarang ini.
Beliau berkata kebanyakan pekerja kilang di kawasan itu terpaksa berada dalam kenderaan dua hingga tiga jam setiap hari menghadapi kesesakan lalu lintas terutama ketika waktu puncak.
“Kesesakan teruk itu menjejaskan produktiviti pekerja kilang malah keseimbangan hidup kami juga terjejas kerana tidak dapat meluangkan masa yang cukup…jadi kami berpendapat projek itu adalah yang terbaik bagi mengatasi penderitaan serta rasa kesesakan yang teruk,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.
Naib Presiden Persatuan Kilang-Kilang Malaysia Pulau Pinang Datuk Jimmy Ong yang turut hadir menyertai kumpulan itu berkata PTMP bukan sahaja untuk kebaikan penduduk negeri ini malah mampu meningkatkan ekonomi negeri.
“Sebenarnya jaringan jalan raya yang baik antara faktor yang mampu menarik pelabur untuk melabur di negeri ini dan ia secara tidak langsung dapat tingkatkan ekonomi, jadi kami memang menyokong PTMP,” katanya.
Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri menyambut baik sokongan orang ramai itu, namun pihaknya sedia mempertimbangkan semua pandangan dan kritikan yang dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – BERNAMA