KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenal pasti satu mesej tular yang mendakwa ahli-ahli yang bekerja antara tahun 1990 dan 2018 berhak mendapat insentif RM6,000 daripada KWSP.
Mesej itu mempunyai pautan ke laman web yang meminta orang ramai untuk menjawab kaji selidik bagi menyemak kelayakan mereka untuk menerima ‘insentif’ tersebut.
Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan media menegaskan bahawa mesej tular dan kandungan laman web tersebut adalah palsu dan tidak berkaitan dengan KWSP.
“KWSP percaya bahawa ini merupakan cubaan penipuan data peribadi ahli bagi tujuan berunsur jenayah.
“Ahli-ahli digesa supaya tidak klik pada pautan tersebut atau memberikan data peribadi mereka kepada mana-mana pihak ketiga yang tidak disahkan. Ahli juga diseru supaya tidak menyebarkan mesej tular tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, semua maklumat rasmi mengenai produk dan perkhidmatan KWSP hanya akan disiarkan dalam laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my.
Ahli-ahli KWSP boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000 atau e-mel melalui http://enquiry.kwsp.gov.my untuk tujuan pengesahan jika terdapat mesej berkenaan KWSP yang meragukan di media sosial. – MYNEWSHUB.TV