KOTA KINABALU – Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Mohamaddin Ketapi berkata, laluan Bangkok-Kota Kinabalu (KK) AirAsia akan meningkatkan ketibaan pelancong ke negara ini, terutama ke Sabah.
Menteri itu berkata, Malaysia merupakan negara ASEAN yang kedua paling banyak dilawati selepas Thailand, dengan 35.3 juta ketibaan pelancong pada 2017, termasuk 1.84 juta dari Thailand.
“Kita berharap penerbangan tiga kali seminggu AirAsia dari Bangkok ke Kota Kinabalu akan menyumbang lebih banyak ketibaan pelancong ke negara kita,” katanya kepada pemberita selepas tiba dari Bangkok dalam penerbangan pertama Bangkok-KK AirAsia di sini, hari ini.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ialah Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Christina Liew dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.
Mohamaddin berharap akan wujud lebih banyak kerjasama antara agensi kerajaan dengan sektor swasta bukan sahaja dalam konteks ASEAN tetapi juga di luar rantau ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menghargai usaha dan sumbangan AirAsia untuk menghubungkan Malaysia dengan negara lain di seluruh dunia,” katanya. – BERNAMA