KENINGAU – Seorang lelaki tempatan maut serta merta manakala rakannya cedera parah dipercayai terkena bom ikan buatan sendiri di Kampung Lotong, Tambunan, Sabtu lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau ASP Lee Nyu Kim berkata mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian pada 7.30 pagi itu dikenali sebagai Bernardine Francis 40, sementara rakannya dikenal pasti sebagai Jinius Tandak, 32.
“Junius dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis mengklasifikasikan kes kematian itu sebagai mengejut terkena letupan disyaki bom ikan buatan sendiri.
Menurut isteri mangsa Jovinie Januris, 23, beliau yang sedang menidurkan anak bergegas ke bahagian belakang rumah ketika mendengar letupan kuat dari arah itu dan mendapati suaminya terbaring berlumuran darah.
Beliau berkata rakan suaminya yang patah di bahagian kaki manakala tubuhnya luka parah berada tidak jauh dari kedudukan suaminya itu. – BERNAMA