BUTTERWORTH – Seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk menghantar bekalan air ketum ditahan bersama 10 bungkusan air ketum bernilai RM100 di hadapan sebuah bank di Taman Inderawasih, Perai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu menahan lelaki berkenaan sedang duduk atas sebuah motosikal kira-kira pukul 6.15 petang.
“Lelaki itu dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan polis menemui 10 bungkusan air ketum dan tiga botol ubat batuk dalam beg galas dibawanya.Dia dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk menghantar bekalan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Katanya siasatan awal lelaki itu merupakan anggota sindiket membuat dan mengedar air ketum di kawasan SPT dan dia mendapat upah berdasarkan jumlah air ketum yang dihantar kepada pelanggan.
Beliau berkata polis sedang mengesan anggota sindiket itu dan dipercayai mereka menjadikan sebuah rumah di Bukit Mertajam untuk menghasilkan air ketum yang dicampur dengan beberapa bahan terlarang
Nik Ros Azhan berkata lelaki yang tidak bekerja itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menahan dua mat rempit termasuk seorang pelajar tingkatan empat dalam operasi khas samseng jalanan di Lebuhraya Lingakaran Luar Butterworth (BORR) di sini awal pagi semalam.
Katanya dua remaja masing-masing berusia 16 tahun itu ditahan dalam operasi bermula pukul 10 malam Khamis hingga 6 pagi semalam dan semasa ditangkap mereka sedang leka berlumba haram.
“Seorang daripada sudah tidak bersekolah dan bekerja di sebuah kedai aksesori kereta di Butterworth. Dalam operasi yang sama sebanyak tiga buah motosikal disita dan lima saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya. – BERNAMA