TANPA jawatan perdana menteri, bukan alasan untuk Datuk Seri Najib Tun Razak berdiam diri, terutama apabila beliau terus lagi terus menjadi sasaran kritikan jahat Pakatan Harapan (PH).
Selain kecaman dan dakwaan liar dilemparkan oleh blok parti kerajaan baharu tersebut, ketua UMNO Bahagian Pekan itu juga sesekali ditegur secara berlapik dalam kalangan sesetengah pemimpin daripada partinya sendiri.
Ketika Najib masih ditohmah dengan skandal 1MDB, awal minggu ini beliau kelihatan agak sentimental apabila memuat naik catatan baharu menerusi akaun sosial Facebook dan melampirkannya dengan satu klip video muzik.
Bekas presiden UMNO itu merujuk kepada lagu lama bertajuk Alasanmu oleh kumpulan Exist sambil menyifatkan lirik yang digunakan bagi mengiringi klip tersebut adalah “tepat” dengan keadaan sukar dialaminya pada ketika ini.
Ternyata lagu malar segar diterbitkan pada 1995 ciptaan Rahim Othman dan Lukhman S itu berjaya menyentuh perasaan Najib kerana bait kata diguna pakai secara kebetulan menyerupai dengan suasana yang dirasainya kini.
Najib semasa meluahkan rasa hatinya terhadap lagu itu yang dimuat naik ke laman Facebooknya pada 20 Ogos lalu berkata bahawa beliau menerima pautan video tersebut daripada seorang rakannya melalui aplikasi WhatsApp.
“Saya tidak tahu siapa yang edit video itu tetapi lirik lagu hit lama ini macam kena tepat sekali dengan situasi saya,” katanya merujuk lagu tersebut yang dinyanyikan oleh Ezad atau nama penuhnya Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim.
Menerusi klip video lagu yang asalnya bertemakan kegagalan percintaan sepasang kekasih disunting seumpama parodi dengan menggunakan gambar-gambar politik bagi menceritakan bagaimana Najib akhirnya hilang kuasa.
Malahan ada beberapa bait lirik tertentu, ia kelihatan ‘kena’ dengan bekas Presiden UMNO itu apabila disesuaikan pula dengan gambar lama yang mewakili senario politik dialami sendiri Ahli Parlimen Pekan tersebut waktu ini.
Lebih tersentuh, ketika senikata “bertentang mata seolah-olah tiada apa”, penyunting klip tersebut memaparkan imej Najib bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum itu memiliki hubungan baik.
Ketika lirik “manis di bibir memutar kata, malah kau tuduh akukah segala penyebabnya” pula, imej janji manis yang diikrarkan PH sebagai ‘gula-gula’ menjelang pilihan raya umum lalu dipaparkan oleh penyunting tersebut.
Video berkenaan juga disunting dengan penuh kreatif apabila turut memaparkan beberapa imej negatif ketika rakyat negara ini pernah merasai keperitan hidup di bawah pentadbiran keras Mahathir antara tahun 1982 hingga 2002.
Antaranya ialah tindakan polis ke atas penunjuk perasaan gerakan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 serta kejadian pertumpahan darah ramai penduduk kampung yang anti-Mahathir di Memali, Kedah pada 1985.
“Terima kasih kepada individu yang edit video ini,” kata Najib pada akhir tulisannya yang turut raih 15,000 tanda suka selain dikongsi lebih 2,700 kali dan menerima hampir 2,200 komen netizen. – Agensi/Mynewshub.TV