SHAH ALAM – Pasukan Bola Sepak bawah 23 tahun (B-23) negara menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) , 2-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Shah Alam di sini malam tadi.
Penyerang Safawi Rasid menjaringkan gol pertama untuk Malaysia pada minit ke-27 hasil rembatan kencangnya di kawasan petak penalti menewaskan penjaga gawang, Skuad B-23 UAE, AbdulRahman A. Al Ameri.
Tersentak dengan jaringan berkenaan, UAE memperkemaskan jentera serangan dan melakukan beberapa gerakan merbahaya tetapi dapat dipatahkan oleh barisan pertahanan negara yang diketuai oleh Mohd Rizal Ghazali.
Muhammad Akhyar Abdul Rashid pula mendapatkan gol kedua negara pada minit ke-64 selepas rembatannya menerjah jaring pasukan pelawat.
Pada Sukan Asia 2018 di Jakarta Indonesia, anak buah Datuk Ong Kim Swee diletakkan dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan.
Malaysia pernah memenangi pingat gangsa acara bola sepak Sukan Asia pada edisi 1962 di Indonesia dan 1974 di Iran. – BERNAMA