KOTA KINABALU – Penerbangan sulung Malindo Air menggunakan pesawat Boeing 737NG dari Singapura ke Kota Kinabalu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 3.25 petang tadi.
Syarikat penerbangan hibrid pertama Malaysia itu mengambil masa dua jam 25 minit dan akan terbang setiap hari dari KKIA ke Singapura pada 9.15 pagi, manakala dari Singapura ke KKIA pada 12.40 tengah hari.
Harga tambang yang ditawarkan Malindo Air bermula dengan RM249 untuk Kelas Ekonomi dan RM599 bagi Kelas Perniagaan.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datu Rosmadi Datu Sulai bersama-sama pegawai kanan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menyambut ketibaan 65 penumpang pertama pesawat berkenaan.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Datu Rosmadi berkata kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sangat mengalu-alukan pewujudan penerbangan terus dari Singapura ke Kota Kinabalu itu bagi mempertingkatkan lagi industri pelancongan di negeri ini.
“Walaupun jumlah penumpang pada hari pertama penerbangan itu hanya 65 orang, saya yakin ia akan meningkat dari semasa ke semasa dan kami di pihak kementerian akan membantu mempromosikan penerbangan terus itu,” katanya.
Beliau berharap syarikat penerbangan berkenaan akan mengadakan lebih banyak penerbangan terus ke negeri ini, pada masa akan datang bagi memperkembangkan lagi industri pelancongan yang sememangnya sangat penting di Sabah. – BERNAMA