ALOR SETAR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini tidak bersetuju dengan tuntutan dibuat golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mahukan hak sama dinikmati oleh rakyat di negara ini.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata sekiranya hak itu diberikan ia seolah-olah seperti kita menerima dan mengiktiraf golongan itu.
“Walaupun gaya hidup yang diamalkan golongan itu tidak dibenarkan di negara ini, mereka masih sebahagian daripada masyarakat dan sebab itu mereka diberi hak sebagai warganegara Malaysia di mana mereka tidak boleh didiskriminasi di tempat kerja atau dalam isu lain.
“Tetapi, hak yang mereka mahukan itu tidak boleh dipersetujui di Malaysia memandangkan Islam sebagai agama rasmi negara ini, secara jelas mengharamkan LGBT dan tidak menghalalkan gaya hidup golongan itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan 72 Tahun Persatuan Ulama Kedah di sini, hari ini.
Mohd Azmi berkata walaupun hak itu ditolak, golongan itu masih perlu dihormati dan tidak seharusnya dikecam dan dihina sebaliknya masyarakat perlu saling menasihati golongan itu untuk kembali ke pangkal jalan.
“Tidak perlu kecam dan keluarkan kata-kata yang tidak baik kepada mereka sebaliknya sebagai masyarakat yang prihatin kita perlu saling menasihati bagi memastikan gaya hidup itu tidak terus berleluasa di negara ini,” katanya.
Pada 17 Julai lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan bahawa golongan LGBT di Malaysia berhak menikmati hak yang sama sebagai warganegara ini dan mereka tidak seharusnya didiskriminasi dalam sebarang bentuk termasuk di tempat kerja. – BERNAMA