KUALA LUMPUR – Media Prima Bhd berharap dapat mengekalkan pertumbuhan dua digit dalam hasil digitalnya tahun ini susulan usaha sama kumpulan itu dengan platform perkongsian video dari Amerika Syarikat, YouTube.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Kamal Khalid berkata hasil daripada segmen digital kumulan itu meningkat 98 peratus pada suku pertama 2018, disokong oleh pendapatan digital yang lebih tinggi.
“Terdapat banyak permintaan untuk kandungan digital daripada penonton dan pengiklan.
“Berdasarkan populariti ke atas kandungan tempatan selain populariti YouTube dalam kalangan penonton Malaysia, kami melihatnya sebagai penyelesaian mampan untuk memanfaatkan potensi penuh kandungan kami untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi,,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan usaha sama itu di sini hari ini.
Beliau berkata usaha sama itu selari dengan transformasi Media Prima untuk menjadi syarikat pertama perdagangan dan kandungan digital utama Malaysia, yang bakal menyaksikan semua kandungan video kumpulan itu tersedia di YouTube.
“Ia juga akan membolehkan kumpulan itu untuk mengurangkan kos dengan memuatkan pemain video YouTube merentas platformnya, dan pada masa yang sama menyediakan pengalaman tontonan kandungan video popularnya dengan lebih baik merentas keseluruhan platform media pada pelbagai peranti.
“Selain itu, langkah tersebut juga akan membolehkan Kumpulan menjana hasil yang lebih mampan menerusi pengiklanan yang programatik, segmen pendapatan digital yang paling pantas berkembang,” katanya.
‘Player for Publishers’ YouTube pertama kalinya dilancarkan di Eropah pada 2015 dan kini digunakan oleh lebih daripada 100 penerbit di 25 negara. – BERNAMA