KUALA LUMPUR – Mengapa Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A Xavier Jayakumar tidak berani menyebut siapakah Perdana Menteri kerajaan lama yang dikritiknya di Dewan Rakyat?
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Xavier cuma mengkritik kerajaan lama dalam isu bekalan air dengan Singapura, tetapi tidak menyebut nama Perdana Menteri ketika itu.
“Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berani mengkritik Kerajaan dahulu dalam isu bekalan air dengan Singapura , tetapi tak berani sebut nama PM dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Media baru-baru ini melaporkan isu jual beli air antara Malaysia dan Singapura bangkit kembali selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyuarakan cadangan menaikkan harga air yang dijual kepada republik itu sebanyak 10 kali ganda daripada kadar semasa.
Kenyataan Mahathir menerima reaksi negatif daripada Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan yang bertegas mahu Malaysia menghormati terma-terma yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Air Sungai Johor 1962.
Dalam perjanjian itu, SingaĀpura mempunyai hak mendapatkan 250 juta gelen air sehari dari Sungai Johor dengan bayaran 3 sen untuk setiap 1,000 gelen, manakala Johor akan membeli air terawat dari Singapura pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Lebih malang lagi, perjanjian tersebut memperuntukkan peluang untuk membuat semakan harga selepas 25 tahun, namun peluang itu dilepaskan kerajaan pada 1987. – MYNEWSHUB.TV
*Sekadar Video Hiasan..