KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mempertahankan nama khas peraduan menulis tentang hari kemerdekaan Cerita-Cerita Kontot atau singkatannya “Certot”.
Beliau dalam satu kenyataan mendakwa perkataan Certot” adalah bahasa sastera yang kononnya masih belum diwartakan dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam turut mendakwa “Certot” satu evolusi bahasa Melayu seperti perkataan “Kugiran” yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“Perkataan “certot” tidak membawa sebarang konotasi tidak baik. Penggunaan akronim ini juga tidak menjadi kesalahan. Akronim ini saya ambil hasil bacaan saya melalui karya-karya sasterawan.
“Bahasa tidak seharusnya bersifat statik sebaliknya berevolusi. P. Ramlee pernah mempopularkan perkataan “kugiran” bagi frasa kumpulan gitar rancak. Perkataan itu akhirnya dibakukan. Begitulah evolusi bahasa berlaku,” dakwanya hari ini.
Terdahulu beliau dalam kenyataan sama membidas orang ramai yang mengkritik penggunaan nama khas “Certot” untuk peraduan anjuran Kementerian Pendidikan itu di akaun Facebook beliau.
Katanya, beliau menerima dan mendengar semua kritikan, tetapi pengkritik yang baik ialah pengkritik yang menggunakan laras bahasa yang baik.
“Kegagalan berbahasa dengan bahasa yang baik mahupun tidak bersetuju kepada sesuatu perkara berpunca daripada masalah sikap dan perangai,” katanya.
‘POST’ FACEBOOK KENA ‘REPORT’?
Beliau dalam pada itu mendakwa pengumuman berhubung peraduan “Certot” di akaun Facebook beliau terpadam sebelum dimuat naik semula semalam bukan disengajakan.
Sebaliknya, beliau mendakwa ia berlaku disebabkan beberapa pengguna Facebook dengan akaun palsu yang membuat laporan kepada Facebook berkaitan “post” tersebut.
“Bertungkus-lumus benar mereka mahu menyekat aktiviti-aktiviti yang Pihak Kementerian anjurkan. Alangkah bagusnya jika kesungguhan itu dimanfaatkan bagi membantu membangunkan negara kita peraduan anjuran kementerian,” dakwanya.
Mynewshub semalam melaporkan laman Facebook rasmi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dipercayai bertindak memadam status peraduan ‘Cerita-Cerita Kontot’ atau singkatannya ‘Certot’.
Bagaimanapun, status sama didapati dimuat naik semula di laman Facebook yang menggunakan akaun “Dr. Maszlee Malik” itu tidak lama kemudian tanpa diubah.
Langkah itu menyebabkan ratusan kritikan orang ramai berhubung penganjuran peraduan itu terpadam dari tatapan laman Facebook berkenaan.
Maszlee baru-baru ini mengumumkan tentang peraduan ‘Certot’ di laman Facebook beliau dan menyeru rakyat menyertainya, namun pengumuman itu menjadi bahan tawa netizen.
Ratusan komen malah mengkritik dan mengutuk idea Kementerian Pendidikan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2018 melalui peraduan ‘Certot’.
Ia ekoran singkatan ‘Certot’ untuk peraduan menulis tentang hari kemerdekaan itu dianggap tidak sesuai, melucukan, memalukan, malah menjatuhkan standard Kementerian Pendidikan. – MYNEWSHUB.TV
*Sekadar Video Hiasan..