KECEWA… Tabung Harapan Malaysia yang ditubuhkan sejak 30 Mei lalu ternyata gagal mencapai misi yang diharapkan oleh pihak kerajaan baharu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Kononnya dengan ambil kisah kejayaan tabung yang sama dilancarkan kerajaan Korea Selatan pada 1998 akibat krisis ekonomi global dengan kutipan AS$20 bilion (kira-kira RM82 bilion), tetapi di Malaysia pula lain berlaku.
Dengan kutipan sekadar RM180 juta untuk bayar hutang kerajaan yang didakwa oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad konon cecah RM1 trilion, sambutan Tabung Harapan Malaysia terbukti amat mengecewakan.
Bagi tutup aib kegagalan tabung yang dikutuk netizen tempatan sebagai amat bodoh itu, beliau semalam dilaporkan berdalih dengan berkata sedang kaji kemungkinan untuk menghentikan kutipan dana tersebut mulai bulan depan.
Ketua kerajaan tertua di dunia itu yang menjadi popular selepas dimalukan kerajaan China sebelum Aidiladha baru-baru ini bagaimanapun berkata, kerajaan PH belum memilih tarikh rasmi untuk tabung pelik tersebut ditutup.
“Kami belum putuskan lagi (tutup tabung), mungkin sekitar bulan depan,” kata Mahathir, 93, kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat dengan pemimpin perniagaan ASEAN di ibu negara semalam.
Beliau yang ternyata agak malu namun cuba mengambil perhatian dengan dakwa konon tabung itu membuktikan rakyat Malaysia sayangkan negara mereka dan bersedia buat pengorbanan untuk menyelesaikan isu hutang negara.
“Saya fikir ia agak jelas bahawa rakyat, malah yang mempunyai jumlah wang sedikit pun bersedia membantu untuk membantu menyelamatkan negara,” dalih Mahathir untuk tutup kegagalan misi penubuhan tabung berkenaan.
Mahathir mengumumkan penubuhan tabung itu selepas Pilihan Raya Umum konon untuk membolehkan rakyat menyumbang bagi mengurangkan kadar hutang negara yang ditohmahnya diwarisi daripada Barisan Nasional (BN).
Kutipan tabung itu setakat 3 petang semalam hanya berjumlah RM179.9 juta atau sekadar 0.018 peratus daripada RM1 trilion yang dicanangkan kerajaan PH untuk berdolak-dalik tidak tunai janji manis manifesto mereka sendiri.
Bahkan beberapa tokoh BN mendakwa angka tersebut sebenarnya sengaja direka oleh Mahathir dan jelas tidak ikut standard kiraan hutang antarabangsa yang ditetapkan pihak Bank Dunia. – Agensi/Mynewshub.TV