SUNGAI PETANI – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memohon sebanyak RM13.5 juta daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk membangunkan fasa satu tapak tamadun tertua di Asia Tenggara di Kompleks Arkeologi Sungai Batu dekat sini.
Timbalan menterinya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada anggaran perbelanjaan sebanyak RM30 juta bagi membangunkan tapak itu sebagai sebuah kompleks yang lengkap dengan infrastruktur bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kawasan ini amat berpotensi sebagai satu produk pelancongan sejarah, kita mahu satu produk lain untuk tanah besar Kedah, bermakna apabila orang sebut Kedah orang tidak akan hanya ingat Langkawi dan pada masa kita akan berusaha untuk menjadikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya ketika mendengar taklimat dan melakukan lawatan ke tapak bersejarah itu hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Datuk Dr Zainah Ibrahim dan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin.
Tapak arkeologi Sungai Batu terletak di ladang kelapa sawit berhampiran jalan Semeling-Merbok di mana para pengkaji sejak 2009 telah menemui pelbagai monumen yang disahkan berusia seawal 1,900 tahun (110 Masehi).
Usianya telah disahkan lebih tua berbanding candi-candi di Borobudur, Indonesia dan Angkor Wat, Kemboja yang masing-masing dibina pada abad ke-9 dan abad ke-12.
Pada masa ini kerajaan pusat hanya memperuntukkan RM500,000 setahun kepada USM untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan penggalian di tapak tersebut.
Sementara itu, Zainah berkata fasa pertama pembangunan kawasan itu membabitkan pembinaan galeri utama dan infrastruktur asas yang akan menjadi tempat pertama dikunjungi pelancong bagi mendapatkan maklumat dan pakej berkaitan.
“Tentunya ia (galeri) akan menjadi pusat maklumat mengenai penemuan utama di tapak ini dan membolehkan pelancong untuk memilih pakej pelancongan yang diingini untuk melawat Sungai Batu dan beberapa lagi lokasi bersejarah di sekitarnya seperti Lembah Bujang dan Jerai Geopark,” katanya.
Mukhriz pula berkata khazanah tidak bernilai yang ada di kompleks bersejarah itu boleh dibangunkan sebagai sebuah ‘taman tema’ yang menjadikan warisan arkeologi sebagai tarikan utama memandangkan ia (penemuan sejarah) bukan diimport dan bukan juga rekaan manusia.
“Ia supaya dibangkitkan dalam Kabinet untuk kerajaan persekutuan dapat membantu Kedah membangunkan satu warisan tapak pelancongan luar biasa untuk khazanah Malaysia bukan Kedah, bagi menarik lebih ramai orang di seluruh dunia mengenali negara dengan lebih khusus lagi,” katanya. – BERNAMA