KUALA LUMPUR – Seramai 50 keluarga etnik Rohingya menerima agihan daging Korban hasil sumbangan orang ramai untuk komuniti tersebut anjuran Malaysian Relief Agency (MRA) di Sekolah Komuniti Rohingya MRA, Kampung Cheras Baru, di sini, semalam.
Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, program tahunan itu betujuan bagi merapatkan hubungan antara para guru, ibu bapa murid-murid, penduduk tempatan dan komuniti Rohingya di sekitar kawasan sekolah tersebut.
“Program yang dijalankan secara gotong-royong itu telah dimulakan dengan penyembelihan dua ekor lembu diikuti dengan agihan daging Korban kepada 50 keluarga etnik Rohingya dan dimeriahkan dengan jamuan makan tengahari yang disediakan sendiri oleh komuniti Rohingya tersebut.
“Dalam majlis yang sama, murid-murid sekolah juga telah menerima sumbangan peralatan menulis dari penderma-penderma yang prihatin dengan nasib mereka,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Daud berkata, MRA juga mengumumkan untuk mengadakan Majlis Amal Tabung Pendidikan Rohingya pada 13 Oktober depan yang akan dihadiri dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya, majlis makan malam amal itu bertujuan mengumpul dana dari para penderma untuk membantu MRA meneruskan program pendidikan asas di tiga buah sekolah komuniti Rohingya anjuran MRA di Kampung Cheras Baru (Kuala Lumpur), Sungai Petani (Kedah) dan Sekolah Dhonnobad di Kem Pelarian Rohingya Moyna Mistry Ghona, Cox’s Bazar, Bangladesh.
“MRA telah memulakan program pendidikan asas secara berterusan untuk anak-anak komuniti ini sejak 2009 dan memerlukan dana sebanyak RM500,000 setahun untuk menampung kos perbelanjaan pengurusan sekolah, gaji guru dan menambah baik kelengkapan asas pusat-pusat pembelajaran tersebut bagi membantu membina masa depan anak-anak dari komuniti yang terpinggir ini.
“Kepada mana-mana badan korporat, organisasi atau individu yang berminat untuk menyumbang boleh mendapatkan maklumat lanjut program di laman sesawang rasmi MRA (www.mra.my) atau Facebook Malaysian Relief Agency,” katanya. – UTUSAN ONLINE