KERAJAAN India baru-baru ini membatalkan kewarganegaraan 4 juta orang Islam di negeri Assam di sebelah timur laut negara itu, mencetuskan kebimbangan berlakunya krisis pelarian dan masalah kemanusiaan termasuk kebuluran.
Satu rang undang-undang baharu menetapkan hanya mereka yang boleh membuktikan kehadiran di Assam sejak sebelum 1971 diiktiraf sebagai warga negara.
Kerajaan India menganggap ramai warga Islam yang tinggal di Assam masuk dari Bangladesh ekoran perang pada 1971 dan ramai penduduk sekarang keturunan pelarian Bangladesh ini.
Pengkritik mendakwa cara ini dibuat oleh kerajaan ektremis Hindu India untuk meningkatkan jumlah majoriti Hindu dan mengurangkan penduduk Islam.
Ini dilakukan sekarang kerana mengambil kira pilihan raya yang akan diadakan tahun depan.
Kerajaan Assam sudah membawa masuk 25,000 anggota pasukan keselamatan tambahan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan keganasan.
Protes di parlimen telah berlaku mengakibatkan penangguhan sidang tempoh hari.
Menurut jurucakap kerajaan, lebih empat juta daripada 30 juta yang memohon memasuki senarai itu tidak diterima, menjadikan mereka bukan warga negara.
Kerajaan kemudian mengatakan masih ada peluang untuk mereka dimasukkan dalam senarai warga negara itu sekiranya benar mereka berasal dari Assam.
Parti BJP, parti kerajaan ekstremis Hindu pimpinan Narendra Modi kini menguasai Assam selepas menang dalam pilihan raya pada 2016 atas janji menghalau imigran dari Bangladesh yang beragama Islam.
Dalam kempen pilihan raya dua tahun lalu, BJP juga berjanji mempertahankan hak penduduk asal Assam.
Sebanyak satu pertiga penduduk Assam beragama Islam. Negeri ini ialah satu-satunya negeri di India yang membuat senarai penduduk.
Ratusan juga penduduk Bangladesh lari ke Assam yang bersempadan panjang dengan Bangladesh semasa perang untuk merdeka dari Pakistan pada 1971.
Pendatang Bangladesh dituduh menguasai peluang pekerjaan dan pemilikan tanah di Assam.
Pengkritik mendakwa apa dilakukan oleh kerajaan India ini sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar yang membatalkan kerakyatan masyarakat Rohingya pada 1982.
Ekoran tindakan ini, dijangka penduduk Islam akan berdepan halangan-halangan melalui proses yang sukar.
Negeri pengeluar teh dengan penduduk 33 juta ini telah mengalami keganasan antara penduduk, dan pada 1983, seramai 2,000 yang dituduh pendatang yang kebanyakannya kanak-kanak Islam dibunuh pada satu hari.
Senarai ini telah ditangguh beberapa kali kerana gagal menepati masa ditetapkan. Satu senarai pada Disember lalu menyenaraikan hanya 19 juta orang sebagai warganegara sah.
Langkah kerajaan India ini dilakukan pada masa undang-undang kewarganegaraan sedang cuba dipinda bagi membolehkan minoriti dari negara jiran yang beragama Hindu dan Kristian.
Mereka bakal memerlukan masa enam tahun tinggal di India untuk mendapatkan status warganegara.
Kumpulan etnik dan agama lain memerlukan masa 11 tahun sebelum boleh dinilai untuk menerima taraf kewarganegaraan. – Agensi/Mynewshub.tv