SHAH ALAM – Penyanyi, Nabila Razali, membuat pengakuan sedang mencari lelaki yang berperwatakan nakal dan berambut panjang untuk dijadikan teman.
Kata penyanyi yang dikenali dengan lagu, Pematah Hati itu, selagi belum menemui lelaki yang memenuhi kriteria diinginkan, selagi itu dia akan terus mencari.
Begitupun, Nabila menafikan dia terdesak untuk segera memiliki teman lelaki, sebaliknya berbuat demikian demi melancarkan kerjaya seninya.
Kata Nabila, jejaka itu diperlukan sebagai pelakon gandingan dalam video muzik single terbarunya yang bakal dilancarkan Oktober depan.
“Bagi single terbaru nanti, saya tampilkan kelainan dengan menyanyikan lagu rock. Berikutan itu, saya memerlukan seorang lelaki berperwatakan nakal dan berambut panjang untuk ditampilkan dalam video muziknya, bersesuaian dengan genre muzik itu sendiri.
“Bagaimanapun, sehingga kini saya belum bertemu lelaki sesuai dan pencarian masih diteruskan,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis pelancaran drama lakonannya, Cintaku Di Bumi Izmir, di sini.
Mengenai genre rock yang diketengahkan menerusi lagu itu, Nabila berkata, dia sekadar ingin menyuntik kelainan selain keluar dari zon selesa.
“Saya masih lagi menyanyikan lagu ciptaan Hael (Husaini) dan inilah percubaan pertama saya membawakan irama rock. Bagi saya, perubahan ini juga satu gimik sempena kemunculan single terbaru,” ujarnya.
Mengulas pencalonannya dalam kategori Penyanyi Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31, artis berusia 25 tahun ini teruja apabila disenaraikan sama dalam acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu.
“Sebaik saja dimaklumkan nama saya sekali lagi tersenarai pada kali ini, saya memang seronok sangat sampai terlompat-lompat. Tidak dinafikan kuasa lagu Pematah Hati yang tular membuatkan saya semakin dikenali.
“Bagaimanapun, saya tak menaruh harapan tinggi kerana persaingan dalam dua kategori itu sangat sengit. Bagi kategori drama pula, nama saya belum cukup kuat.
“Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana masih mencalonkan nama saya untuk tahun ini,” katanya. – BH Online