PETALING JAYA – Naib Presiden PKR Fuziah Salleh menjelaskan tindakan beliau kembali bertanding jawatan ketua Wanita pada pemilihan parti akan datang, bertujuan mempertahankan agenda reformasi yang diperjuangkan parti itu.
Fuziah yang pernah memegang jawatan ketua Wanita PKR antara tahun 2000 hingga 2007 berkata parti itu memerlukan pemimpin yang mempunyai prinsip jelas dalam memperjuangkan agenda parti.
“Ramai tanya kenapa saya mahu kembali (tanding ketua Wanita) , seolah-olah turun pangkat tetapi semua ini bagi membawa agenda reformasi yang akan membawa rakyat dan negara ke arah lebih baik,” katanya selepas menghantar borang pencalonan jawatan ketua Wanita di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.
Borang pencalonan beliau dicadangkan oleh Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Selangor Rodziah Ismail dan disokong Pengarah Strategik Biro Latihan Akademi Keadilan Dr Zaliha Mustafa.
Selain itu, hanya dua borang pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR 2018, setakat 12.30 tengah hari tadi.
Borang berkenaan dihantar sendiri oleh kedua-dua calon berkenaan iaitu Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi.
Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Melaka Naqiuddin Nazrin telah menghantar borang pencalonan bagi jawatan timbalan ketua AMK. – BERNAMA