PUTRAJAYA – Masyarakat disaran bermuhasabah diri dengan menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai titik tolak menilai apa yang dilakukan bagi memberi makna dan mengisi nikmat kemerdekaan yang dikecapi.
Antara nikmat diberi Allah, kemerdekaan tidak boleh diukur dan dibayar dengan harta benda atau wang ringgit, sebaliknya bagaimana tindakan yang perlu dilaksana bagi memperkukuh pembinaan sebuah negara makmur terlaksana sepenuhnya.
“Pengisian kemerdekaan hendaklah dilaksana mengikut acuan yang sebenar ke arah perpaduan, ukhwah dan kasih sayang,” demikian ingatan khatib dalam khutbah khas Jumaat sempena Hari Kebangsaan di Masjid Putra di sini hari ini.
Khatib turut mengingatkan umat Islam agar mengambil peluang daripada kemerdekaan untuk terus menyuburkan syiar dan syariat Islam, selaras kedudukannya sebagai agama rasmi Persekutuan.
“Kita perlu jadikan asas yang diperuntukan undang-undang itu untuk terus menyuburkan Islam bagi meraih keredaan Allah, sekali gus menikmati maksud kemerdekaan yang sebenar,” katanya.
Terdahulu, sambutan Hari Kebangsaan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ disambut meriah di Dataran Putrajaya dengan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung. – BERNAMA