BUKIT MERTAJAM – Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menimbang semula peraturan yang diperkenalkan pada pemilihan parti kali ini agar lebih realistik demi kepentingan semua calon yang bertanding.
Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh berkata adalah sukar jika peraturan baharu yang diperkenalkan oleh JPP tidak pratikal kerana pemilihan PKR sangat mencabar berikutan ia melibatkan 800,000 anggota di seluruh negara.
“Ya, saya tahu ada beberapa calon yang bertanding dalam pemilihan PKR kali ini menyuarakan pandangan dan ada yang tidak setuju dengan beberapa peraturan baharu oleh JPP yang dilihat tidak realistik dan pratikal.
“Saya sendiri juga melihat perkara itu (peraturan baharu) tidak sesuai dan sepatutnya JPP mengambil kira beberapa perkara sebelum buat peraturan tersebut kerana pemilihan PKR adalah satu-satunya parti yang menjalankan undi terus dari semua anggota parti yang mendaftar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Kesyukuran dan Korban Perdana anjuran pertubuhan bukan kerajaan Yayasan MyPrihatin di Guar Perahu di sini hari ini yang turut menyaksikan yayasan tersebut menyerahkan dua ekor lembu untuk dikorbankan dan dan dimasak dalam kenduri untuk penduduk Permatang Pauh tersebut.
Nurul Izzah berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua AMK PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyifatkan peraturan baharu menghalang calon mengadakan ceramah dan menganjurkan jamuan makan dengan kehadiran lebih 100 orang sebagai tidak praktikal.
PKR turut memperkenalkan larangan calon menggunakan gambar berkumpulan dalam bahan kempen mereka.
Sementara itu Nurul Izzah yang akan mempertahankan jawatan naib presiden, berkata beliau belum memulakan kempennya kerana terlalu sibuk dengan tugas sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh.
Namun pada masa sama beliau mengakui pemilihan kali ini agak mencabar.
“Mereka kata saya tidak perlu teruk untuk berkempen kerana bapa saya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah Presiden PKR, sebenarnya itu salah dan saya kena kerja lebih kuat serta bukan hanya berharap kepada nama beliau (bapa),” katanya. – BERNAMA