KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berharap usul kecaman terhadap kekejaman Israel dapat dibahaskan di Parlimen.
Beliau berkata kekejaman Israel termasuk pelaksanaan undang-undang ‘Jewish nation-state’ oleh Parlimen Israel pada 19 Julai dan tindakan zalim rejim itu menawan kapal kemanusiaan Al-Awda yang dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 29 Julai lalu perlu dikecam secara kolektif oleh anggota Dewan Rakyat.
“Walaupun usul persendirian saya mengenai isu ini telah dibincangkan dalam Kamar Khas baru-baru ini, saya harap jasa baik kerajaan untuk membahaskan usul ini sebagai usul tergempar,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Tentera Israel bertindak menghalang pelayaran kapal Al-Awda yang berlayar menggunakan bendera Norway membawa 22 aktivis dari 16 negara termasuk penyokong hak asasi manusia, wartawan dan krew serta turut membawa kargo ubat-ubatan bernilai Euro 13,000 (RM61,554) bagi diserahkan kepada penduduk Gaza melalui program #Gauze4Gaza.
Bagaimanapun kapal berkenaan ditawan tentera Israel pada 29 Julai, iaitu hari kesembilan pelayaran dan kesemua sukarelawan ditahan dalam penjara Givon di Israel.
Kapal yang turut membawa wakil tunggal Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, dipintas tentera laut rejim dan ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel. Mohd Afandi bagaimanapun dibebaskan selepas ditahan selama 36 jam. – BERNAMA