Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Bas ‘Hop-On Hop-Off’ Beroperasi...

IPOH - Penduduk dan pengunjung di bandar raya ini bakal berpeluang menikmati keindahan...

Pelajar Kolej Mengaku Bersalah,...

KUALA LUMPUR - Individu pertama didakwa terbabit dengan kegiatan al-Qaeda di Malaysia, mengaku...

Wanita Mahu Jadi Pramugari...

SEORANG wanita terpaksa menderita selepas kawannya yang cemburu telah mencurahkan asid ke mukanya...

Guna Kereta Mewah Seludup...

PADANG BESAR - Menyeludup dadah menggunakan kereta mewah bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Begitu...

Objektif Penubuhan Baitulmal Johor Belum Tercapai

JOHOR BAHRU – Objektif penubuhan Baitulmal Negeri Johor (Baitulmal) secara umumnya belum tercapai di mana terdapat kelemahan dari aspek penggunaan tanah, proses tebus hak milik dan pengurusan sewa hartanah yang menjejaskan kecekapan pengurusan hartanah Baitulmal.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 Pengurusan Aktiviti/Kewangan Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Johor Siri 1 mendedahkan terdapat kelemahan yang ketara berhubung prestasi penebusan hak milik Baitulmal di mana permohonan tebus hak milik telah mengambil masa sehingga 998 hari di peringkat daerah dan 2,611 hari di peringkat Ibu Pejabat daripada tarikh pemohonan dibuat sehingga makluman keputusan dihantar kepada pemohon.

“Pengauditan yang telah dilaksanakan antara Jun dan Oktober 2017 merumuskan pengurusan hartanah belum mencapai kecekapan yang optimum kerana terdapat kelemahan daripada aspek penggunaan tanah, pengurusan sewa hartanah dan proses tebus hak milik.

“Penyelenggaraan dokumen yang tidak sempurna di samping kekurangan penyeliaan dan pemantauan terhadap hartanah yang dimiliki menyebabkan pihak Baitulmal kehilangan hasil dengan anggaran RM9.72 juta akibat daripada pencerobohan dan kelemahan pengurusan tanah; tunggakan sewa yang tinggi dan bangunan kedai serta rumah kediaman yang tidak disewakan,” menurut laporan berkenaan yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menurut laporan itu, Baitulmal adalah satu bahagian di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan ia satu kumpulan wang yang terdiri daripada semua wang dan harta alih atau tidak alih yang diperoleh mengikut hukum syarak.

Objektif penubuhan Baitulmal adalah untuk mengenal pasti dan merekodkan harta Baitulmal, mengawal, menambah dan memajukan harta Baitulmal serta mengagihkannya mengikut ketentuan hukum syarak.

Fungsi utama pentadbiran Baitulmal ialah mentadbir harta Baitulmal, urusan penebusan hak Baitulmal, urusan pindah milik, menerima luqatah (dijumpai) dan agihan harta Baitulmal.


Laporan itu menyebut, secara keseluruhannya, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh MAINJ dalam menguruskan hartanah Baitulmal.

“Penemuan audit utama yang perlu diberikan perhatian oleh MAINJ termasuk pencerobohan dan pengurusan tanah hak milik Baitulmal yang tidak teratur menyebabkan kehilangan hasil dianggarkan RM1.12 juta, kelewatan dalam memproses tebus hak milik Baitulmal antara dua hingga 998 hari di peringkat daerah dan dua hingga 2,611 hari di peringkat Ibu Pejabat; perbezaan antara daftar tanah di Bahagian Baitulmal dengan Bahagian Kewangan; tunggakan sewa bangunan kedai dan rumah kediaman berjumlah RM6.18 juta serta bangunan kedai dan rumah kediaman yang tidak disewakan menyebabkan kerugian sejumlah RM2.42 juta,” menurut laporan tersebut.

Bagi menambah baik pelaksanaan pengurusan hartanah, Baitulmal disyorkan mempertimbangkan beberapa perkara termasuk menyediakan prosedur kerja pengurusan hartanah yang lengkap meliputi semua proses kerja terlibat seperti membuat carian, mendaftar, penebusan dan penyewaan dan mengadakan perbincangan segera dengan waris dan individu supaya kehilangan hasil dapat diperoleh semula.

Baitulmal turut disyorkan memastikan setiap hartanah yang tidak diusahakan diambil tindakan yang sewajarnya supaya dapat memberi pulangan hasil kepada pihak Baitulmal; dan menguatkuasakan perjanjian penyewaan dan mengambil tindakan perundangan terhadap penyewa yang belum menyelesaikan tunggakan, menurut laporan itu. – BERNAMA

Kategori