DUBLIN – Perdana Menteri Ireland, Leo Varadkar semalam menggesa Paus Francis mengambil tindakan memastikan keadilan untuk mangsa penderaan di seluruh dunia ketika Ketua Paderi itu mengakui ‘kegagalan’ pihak berkuasa gereja menangani skandal terbabit ketika kunjungan bersejarahnya ke sini.
Dalam satu ucapan bernada tegas, Varadkar, seorang pemimpin gay dan simbol kebebasan budaya Ireland, menuntut Francis ‘menukar kata-katanya kepada tindakan’ terhadap mangsa penderaan.
Bercakap kepada penonton di Dublin Castle bersama Francis, Varadkar berkata, skandal bersejarah pelbagai Ireland adalah ‘kotoran di negara kami, masyarakat kami dan juga gereja.’
“Terlalu banyak penghakiman, keterukan dan kekejaman, orang ramai dikaburi di sebalik pintu tertutup, tangisan bantuan yang tidak didengari.
“Ada banyak perlu dilakukan untuk membawa mereka ke muka pengadilan dan kebenaran serta penyembuhan untuk mangsa dan mereka yang terselamat.
“Paus Francis, saya meminta anda menggunakan gereja dan pengaruh untuk memastikan ia dilakukan di sini di Ireland dan seluruh dunia,” kata Varadkar.
Francis membalas, mengatakan ‘kegagalan pihak berkuasa gereja, secara mencukupi untuk menangani jenayah meloyakan itu menjurus kemarahan dan kekal menjadi sumber kesakitan dan tragedi amat memalukan bagi masyarakat Katolik.’
“Saya sendiri berkongsi sentimen itu,” tambah beliau.
Seorang mangsa institusi itu, Marie Collins yang meletak jawatan daripada sebuah suruhanjaya Vatican mengenai perlindungan kanak-kanak tahun lalu berhubung ketiadaan tindakan, mengkritik ucapan itu, memberitahu media ia ‘agak mengecewakan dan tiada apa-apa yang baharu.’
Collins, kini 71, didera seorang paderi ketika masih berusia 13 tahun dan pernah dirawat di sebuah hospital di sini.
Ia adalah kali pertama Francis menjejakkan kaki ke bekas kubu kuat Katolik sejak Paus John Paul II bercakap kepada 1.5 juta penonton ketika lawatannya pada 1979.
Awal bulan ini, Vatican digegarkan dengan laporan mengejutkan Amerika Syarikat (AS) yang menuduh lebih 300 Paus Francis Apaderi di Pennsylvania mendera lebih 1,000 kanak-kanak sejak 1950-an.
Francis menulis surat kepada 1.3 bilion penganut Katolik, berikrar menghalang ‘kekejaman’ akan datang namun turut mengakui tiada usaha ‘memulihkan perbuatan menjejaskan secara mencukupi.’
Ireland bergelut dengan sejarah penderaannya sendiri, dengan pelbagai siasatan mendapati, pemimpin gereja melindungi beratus paderi pemangsa selama berdekad. – AFP/BH ONLINE