PUTRAJAYA – Peguam kepada bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid akan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi esok berhubung perintah Seksyen 28A (8) Kanun Prosedur Jenayah.
Menurut peguam Datuk Shaharudin Ali, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi seksyen itu memohon agar suspek tidak dibenarkan berunding dengan peguam sepanjang ditahan reman.
“SPRM ketika prosiding reman tadi memohon perintah agar anak guam tidak dibenarkan berjumpa dengan peguam sepanjang direman.
“Pasukan pembelaan membantah perintah ini kerana alasan diberikan tidak wajar, kami akan memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi esok,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Hasanah direman lima hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna wang peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN ONLINE