OTTAWA – Seorang pelancong Jerman ditembak di bahagian kepala semalam ketika sedang memandu di kawasan Pergunungan Rocky dalam apa yang disifatkan polis sebagai kes keganasan jalan raya.
Menurut pegawai polis Royal Canadian Mounted, Sarjan Tom Kalis, lelaki berusia 60 tahun itu sedang memandu di lebuh raya berhampiran Stoney Nakoda First Nation kira-kira 60 kilometer barat Calgary menuju ke Taman Negara Banff sejurus sebelum 12 tengahari waktu tempatan ketika kejadian.
“Tembakan itu menyebabkan beliau terbabas ke bahu jalan dan merempuh sebatang pokok.
“Mangsa ditembak di bahagian kepala dan teori buat masa ini mengaitkan ia dengan kes keganasan jalan raya,” katanya.
Lelaki itu diterbangkan ke hospital di Calgary dan doktor memberitahu, mangsa berada dalam keadaan kritikal serta membimbangkan.
Tiga anggota keluarga yang berada bersamanya ketika kejadian hanya mengalami kecederaan ringan akibat rempuhan pada pokok itu.
Polis sedang mencari sebuah kereta sedan kecil berwarna hitam yang dipandu seorang lelaki berkulit putih dan melintasi trak mangsa ketika tembakan terbabit dilepaskan. – AFP/BH ONLINE
*Sekadar Video Hiasan.