PETALING JAYA — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membangunkan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini, yang dijangka dilaksanakan tahun depan, kata menterinya Zuraida Kamaruddin.
Bagi tujuan itu, beliau berkata satu jawatankuasa akan dibentuk dan dikendalikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha untuk memantau projek pembangunan semula melibatkan 3,004 unit di lapan blok perumahan tersebut.
“Flat ini walaupun 18 tahun namun ia tua sebelum usianya dengan pengurusan kurang cekap dan tidak efisien.
“Kita cuba mencari model dan meneliti konsepnya yang mana kita akan memberikan satu rumah yang baharu yang lebih selesa mengikut Dasar Perumahan Negara yang baharu yang akan dikeluarkan pada September,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk PPR Lembah Subang 1, hari ini.
Pada masa ini, Zuraida berkata kementerian melaksanakan program jangka pendek bagi menangani permasalahan penduduk PPR itu termasuk membaiki lif, pengurusan air dan sampah, serta keselamatan.
Beliau juga mahu jawatankuasa penduduk yang diwakili sekurang-kurangnya 10 anggota diwujudkan bagi memantapkan pentadbiran di kawasan perumahan itu. — BERNAMA