PEMBATALAN projek keretapi dari Pantai Barat ke Pantai Timur (ECRL) yang diputuskan semasa pemerintahan Barisan Nasional mencetuskan rasa kesal dan tidak puas hati negeri-negeri Pantai Timur, yang kesemuanya dikuasai parti pembangkang.
Pembatalan ini menimbulkan persepsi bahawa ia dilakukan untuk membalas dendam terhadap pentadbiran sebelum ini dan menghukum negeri-negeri yang tidak berjaya dikuasai Pakatan Harapan.
Selain Sabah yang turut diabai kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, projek ECRL yang sudah bermula proses pembinaannya boleh dianggap satu rancangan mengelakkan negeri-negeri pembangkang menikmati pembangunan dan kemajuan.
Apa yang dikesalkan ialah selain pembatalan ECRL, Mahathir turut mengubah janji royalti 20 peratus daripada produksi kepada negeri-negeri pengeluar minyak kepada 20 peratus daripada keuntungan, yang mungkin lebih rendah berbanding royalti.
Selain Sabah, semua negeri yang terkesan dengan royalti minyak dan ECRL ini ialah negeri dikuasai pembangkang.
Pemimpin-pemimpin negeri terbabit menyatakan rasa tidak puas hati dengan pembatalan projek infrastruktur pengangkutan itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembatalan merugikan ketiga-tiga negeri, yang kesemuanya diperintah pembangkang di Pantai Timur – Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya telahpun bermula.
“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja mengorek terowong bagi laluan bawah tanah ECRL telahpun bermula.
“Selain itu, kerja-kerja untuk pengambilalihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” katanya.
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata amat merugikan andai ECRL dihentikan terus lebih-lebih lagi proses awal pelaksanaan projek itu sudah berjalan.
“Proses awal membabitkan pembinaan laluan, stesen, terowong dan jambatan sudah pun dilakukan termasuk mengambil alih tanah.
“Malah, ada terowong sudah digali sejauh 50 meter dan pada hemat saya, langkah menghentikan pelaksanaan projek ini satu kerugian, sepatutnya boleh buat proses baru membuka tender kepada syarikat tempatan untuk adakan kerjasama dengan luar negara pada kos munasabah,” katanya.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri memberi sokongan penuh dengan sebarang usaha membangunkan negeri itu oleh kerajaan persekutuan.
“Sebab itu kita sokong penuh projek ini. Bila dibentang untuk kemajuan negeri dan perhubungan antara negeri di Pantai Barat dan Pantai Timur.
“(Malah) pembinaan ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan. Atas sebab itu kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan membantu dalam proses pengambilan tanah dan lain-lain,” katanya ketika ditanya pandangannya berkenaan ECRL pada April lalu.
Terbaru, Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari berkata pembatalan projek yang bakal memberi manfaat pada rakyat ini akan mencetuskan rasa tidak puas hati kerajaan PAS Kelantan dan juga rakyat negeri itu yang sudah lama mengharapkan manfaat ekonominya.
Selain pelbagai halangan pembinaan lebuh raya hingga ke Kelantan, negeri dikuasai PAS itu juga kini terpaksa melupakan impian untuk menikmati pengangkutan lebih pantas dari Pantai Barat ke Kelantan ekoran pembatalan ECRL.
Alasan hutang semakin sukar diterima kerana motif politik peribadi amat jelas dalam keputusan pembatalan ini.
Pembatalan projek ini dikaitkan juga dengan lawatan ke China baru-baru ini yang tidak menunjukkan hasil seperti diharapkan, mendorong beliau mengumumkan pembatalan di sana pada saat akhir sebelum berangkat pulang.
Tindakan seterusnya Mahathir akan terus diperhatikan, sama ada projek ini akan dihidupkan semula dengan kontraktor baharu seperti yang menjadi spekulasi ramai pengkritiknya. – Mynewshub.tv