SEREMBAN – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menasihatkan pembeli supaya memahami Dasar Perumahan Negara yang akan diperkenalkan pada Disember ini bagi memastikan mereka tidak berdepan risiko termasuk kediaman terbengkalai.
Beliau berkata ini penting kerana dasar yang digubal kerajaan bertujuan sebagai panduan kepada pemaju dan pembeli serta menyasarkan untuk membina rumah mampu milik bagi kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus sederhana (M40).
“Dasar itu, bagaimanapun hanya terpakai kepada perumahan yang dibina kerajaan dan tidak perumahan daripada pemaju swasta.
“Bila dah ada polisi baharu, pemaju dan kerajaan negeri perlu ikut dasar yang ditetapkan dan jika tidak ikut, mereka perlu bertanggungjawab atas pembelian rumah. Kita (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) tidak akan bertanggungjawab jika ada masalah dengan pembeli dan penduduk.
“Tetapi jikalau pemaju gagal menepati perjanjian jual beli dan semua yang dijanjikan, itu boleh diambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Teratak Le’Reen, sebuah inap desa di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula esok tidak meliputi bahan binaan.
“Bila bahan binaan tak ada GST (cukai barang dan perkhidmatan) sudah tentu secara tidak langsung dapat menurunkan harga rumah memandangkan bahan binaan sudah turun. Dalam pembinaan rumah, 70 peratus itu adalah bahan binaan dan sudah tentu akan memberi impak kepada harga perumahan,” katanya. – BERNAMA