KUALA LUMPUR – Pemilik Restoran Raj’s Banana Leaf Bangsar didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana gagal melaporkan butir-butir penggajian dua pekerja warga asingnya.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Intercompass Sdn Bhd, pemilik restoran itu, selepas pengarahnya Muhamad Rizal Abd Rahman, 40, selaku Orang Kena Saman (OKS) yang mewakili syarikat itu, mengaku bersalah atas dua pertuduhan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan turut memerintahkan waran levi dikeluarkan sekiranya OKS gagal membayar denda itu. OKS membayar denda.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua syarikat itu didakwa sebagai majikan kepada C. Suresh dan K. Rajalingam kedua-duanya warganegara India berumur 30 tahun telah gagal melaporkan butir-butir tentang penggajian pekerja asing kepada Pejabat Tenaga Kerja (PTK) yang terdekat dalam tempoh 14 hari setelah pengambilan pekerja-pekerja asing tersebut.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di PTK Tingkat 9, Menara Perkeso Jalan Ampang di sini pada 11 pagi ,22 Jan lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 60K(1) Akta Kerja 1955 dan majikan boleh dihukum di bawah Seksyen 60K(5) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000.
Terdahulu Pegawai Pendakwa JTK dari Wilayah Persekutuan Mohd Dzahiruddin Mat Salleh@Ismail memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran bagaimanapun, Muhamad Rizal yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum.
Mengikut fakta kes, JTK telah membuat pemeriksaan di Pejabat Tenaga Kerja, Menara Perkeso terhadap syarikat tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu telah gagal melaporkan butir-butir tentang penggajian pekerja asing di pejabat PTK yang terdekat dalam tempoh 14 hari selepas pengambilan dua pekerja asing itu. – BERNAMA
*Sekadar Video HIasan..