KUALA LUMPUR – Pengeluaran Myvi baharu yang juga model paling laris Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), terpaksa dihentikan untuk sementara waktu berikutan gangguan bekalan di salah satu vendornya yang menyebabkan kira-kira 3,000 pelanggan gagal mendaftar kenderaan masing-masing sebelum akhir bulan ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Perodua berkata ia bertanggungjawab sepenuhnya di atas perkara itu dan sedang mengambil langkah perlu bagi memastikan usaha pengeluaran itu dapat disambung semula secepat mungkin.
“Kami memohon maaf kepada para pelanggan yang telah menunggu penuh sabar bagi mendapatkan kereta Myvi baharu mereka,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin.
Beliau berkata, para pelanggan terbabit sepatutnya menerima kereta masing-masing sebelum 1 September dan usaha sedemikian sememangnya menjadi keutamaan pihak Perodua.
Malah, pengeluar kereta itu baharu saja selesai memenuhi tempahan Myvi yang dibuat sebelum 1 Jun lepas.
“Kami amat maklum dan memahami kekecewaan para pelanggan. Sehubungan itu, kami sedang berusaha dari segi pampasan kepada pelanggan terbabit dan akan menghubungi mereka dengan segera menerusi cawangan kami.
“Pada masa ini kami berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah ini dan akan menyambung pengeluaran Myvi secepat mungkin,” katanya.
Zahari berkata, pengeluaran model lain Perodua seperti Axia, Bezza dan Alza sebaliknya berjalan dengan lancar.
Menurut Perodua, permintaan terhadap kenderaan terbukti melonjak berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar mulai 1 Jun lepas serta menjelang pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini.
Lebih 68,000 daripada 120,000 tempahan Myvi baharu juga dapat dipenuhi sejak pelancarannya pada November tahun lepas.
Perodua berjaya menjual kira-kira 140,000 unit kenderaan bagi tempoh Januari dan Julai pada tahun ini iaitu peningkatan hampir 19 peratus berbanding 118,600 unit yang dijual pada tempoh sama tahun lepas. – BERNAMA