KOTA BHARU – Pensyarah warga Mesir sebuah kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencabul penuntutnya, awal bulan ini.
Tertuduh, Ahmed Abdellatif Ahmed Khalil, 56, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh.
Sehubungan itu, Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 27 Ogos ini untuk mendapat jurubahasa Bahasa Arab.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul seorang perempuan berusia 19 tahun di sebuah bilik pensyarah di sebuah kolej di Nilam Puri di sini pada jam 12.15 tengah hari, 7 Ogos 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan penuntut perempuan mendakwa dicabul pensyarahnya yang berasal dari negara Timur Tengah di dalam bilik di sebuah kolej di Nilam Puri, di sini.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa berusia 19 tahun dikatakan dicabul di beberapa bahagian badan oleh suspek.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dipetik berkata, sebelum itu, mangsa bersama rakannya sedang mengulang kaji pelajaran dipanggil suspek yang mengajar Bahasa Arab untuk masuk ke dalam bilik.
Suspek kemudian mengarahkan supaya membuka niqab (penutup muka) sebelum bertindak memegang bahu mangsa dan beberapa bahagian badan lain.
Mangsa yang merasa panik melarikan diri dan memaklumkan kejadian itu kepada Pegawai Unit Keselamatan kolej. – BH Online