JEMAAH haji tidak akan alami masalah untuk faham bahasa Arab kerana adanya pasukan khas penterjemah bantu dua juta jemaah Islam dari pelbagai negara yang bertutur pelbagai bahasa.
Ini kerana tidak semua umat Islam mampu menguasai bahasa Arab seperti Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia manakala berjuta-juta lagi umat Islam merupakan penutur bahasa Urdu.
Menurut pegawai biro penterjemah haji, Mazen al-Saadi dipetik agensi berita AFP, secara keseluruhan sebanyak 80 peratus umat Islam yang mengunjungi Makkah lazimnya adalah bukan penutur lidah bahasa Arab.
Justeru pasukannya sentiasa bersedia 24 jam untuk salur khidmat kepada jemaah bagi terjemah bahasa antaranya Inggeris, Perancis, Parsi, Melayu, Hausa, Turki, Cina dan Urdu yang merupakan antara bahasa luas digunakan.
Seorang jemaah haji, Samir Varatchia dari Pulau Reunion, Perancis menyifatkan kehadiran kumpulan lelaki berpakaian vest kelabu yang merupakan pakaian seragam pasukan penterjemah itu amat dialu-alukan.
“Saya tidak banyak mengetahui tentang bahasa Arab, oleh itu terjemahan bahasa Perancis akan membantu kami memahami banyak perkara termasuk doa yang dibacakan,” katanya kepada wartawan AFP.
Penterjemah Tunisia, Abdulmumen al-Saket berkata, dia gembira dapat membantu jemaah haji yang bukan Arab untuk lebih memahami arahan di papan tanda serta panduan ibadah haji.
“Kami cuba membantu sedaya mungkin termasuk membaca peta untuk mereka malah ada yang mahukan nombor telefon kami untuk menghubungi kami kemudian jika mereka memerlukan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu tambah Mazen, puluhan ribu jemaah haji dari India, Pakistan, Nepal dan Bangladesh hanya mampu bertutur dalam bahasa Urdu malah didapati sebahagian besarnya tidak tahu berbahasa Inggeris.
Justeru banyak papan tanda arah untuk jemaah haji diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, Urdu termasuk Perancis.
Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi sebenarnya mempunyai perkhidmatan terjemahan dan mentafsir yang paling banyak bahasa untuk jemaah haji dari seluruh dunia.
Beberapa jabatan khas telah diwujudkan untuk mengendali bacaan doa dan peraturan malah talian penting menggunakan berpuluh-puluh bahasa untuk soal jawab agama juga mudah didapati. – AFP