KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh menegaskan arahan menurunkan poster Festival George Town di Pulau Pinang yang dikatakan berunsurkan ‘lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)’, bukan tindakan diskriminasi.
Katanya walaupun kerajaan menerima ‘keadaan kecelaruan’ golongan tersebut, keputusan itu dibuat sebagai menghormati ruang awam dan hak asasi golongan majoriti.
“Apabila sudah timbul ikon naik dekat ‘billboard’ dan sebagainya itu ‘promotion’… dan apabila ia terlibat dalam promosi, ia telah menjangkau ruang publik, ruang orang ramai.
“Masyarakat tidak mahu ikon seperti ini menjadi ‘role model’ kepada anak-anak mereka. Mereka (LGBT) perlu hormat, ini bukan tindakan diskriminasi,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel Forum Bicara Ad-Deen sempena ulang tahun IKIMfm ke-17 di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang, Chong Eng yang membantah tindakan itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Farizan Darus sebelum ini mengesahkan beliau telah mengeluarkan arahan kepada penganjur untuk menurunkan poster berkenaan setelah mendapat aduan orang ramai dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana dilihat sebagai promosi gaya hidup golongan berkenaan secara terbuka. – BERNAMA