IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak diminta memperbanyakkan aktiviti kebombaan bersama masyarakat daripada pelbagai peringkat umur bagi memberi kesedaran dan pendedahan mengenai kes-kes kecemasan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Paul Yong Choo Kiong berkata masyarakat perlu mempunyai ilmu dan kesedaran terhadap bahaya kebakaran atau bantuan kecemasan sebagai antara usaha mengurangkan kes berkaitan.
“Banyak jasa dan pengorbanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berikan kepada masyarakat dalam kecemasan tanpa mengira waktu dan pihak bomba sentiasa dekat dengan rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bendera kontinjen pasukan JBPM Perak sempena Sukan Bomba Malaysia (Sukbom) 2018. Turut hadir Pengarahnya Datuk Yahaya Madis di sini hari ini.
Sukbom 2018 akan berlangsung di Melaka selama lima hari bermula esok.
Dalam pada itu, Paul Yong berkata aktiviti sukan dapat memupuk semangat persahabatan dan perpaduan dalam diri tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan seseorang individu.
Beliau berkata apabila seseorang individu itu menceburi bidang sukan, ia harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan dan kemenangan dalam aktiviti perseorangan atau berkumpulan.
“Oleh itu, saya menyeru para atlet yang menyertai Sukbom 2018 supaya sentiasa memfokuskan usaha terhadap matlamat kejayaan pingat yang disasarkan,” katanya.
Sementara itu, Yahaya berkata pihaknya menYasarkan 11 pingat emas pada kejohanan dwitahunan tersebut.
Seramai 119 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota bomba negeri menyertai Sukbom yang mempertandingkan 11 acara antaranya golf, renang, boling, badminton, tenis, tarik tali, olahraga serta ping pong. – BERNAMA