KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) memeriksa alat sulit mereka terlebih dahulu sebelum memasuki mana-mana tandas.
Mohd Asri berkata, kekeliruan golongan LGBT ketika ini dilihat semakin parah sehingga membawa kepada kekeliruan dalam memilih tandas untuk dimasuki mengikut jantina.
“Ramai betul yang bertanya saya soalan mengenai tandas mana LGBT patut masuk? Entah mengapa tiba-tiba soalan seperti ini pun boleh muncul?
“Saya ingin mencadangkan jika kekeliruan ini terjadi kepada mana-mana individu, disyorkan dia berjumpa pakar untuk memeriksa dirinya semasa dia membuang air kecil di saluran mana air itu keluar,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, seandainya air kecil yang keluar itu melalui alat sulit lelaki, golongan itu mestilah memasuki tandas lelaki.
“Jika (air kecil) keluar melalui alat sulit wanita, sila ke tandas wanita.
“Jika tidak keluar langsung, ataupun tidak keluar melalui alat sulit lelaki ataupun wanita, silalah ke hospital dan seandainya doktor kata anda cacat, bolehlah ke tandas orang kurang upaya.
“Jika tiada kemampuan menemui pakar, rasanya diri sendiri pun boleh memeriksa alat kemaluan sendiri,” katanya.
Sebelum ini NSTP melaporkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar tidak akan melayan permintaan golongan terbabit secara melulu tetapi hanya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai warga negara tanpa mengenepikan identiti asal.
Katanya, setakat ini, kementeriannya belum mempunyai sebarang rekod terdapat isu diskriminasi terhadap golongan terbabit tetapi tidak menafikan ia mungkin wujud cuma takut untuk melaporkan kerana boleh dibuang kerja.
Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang meminta masyarakat jangan mendiskriminasikan golongan transgender kerana keengganan memberi layanan sama rata menyebabkan mereka tidak boleh berdikari lalu terjerumus ke lembah pelacuran, Jumaat lalu. – BH ONLINE