KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha untuk menunaikan janji dalam manifesto pilihan rayanya, tetapi menyatakan lebih banyak masa diperlukan untuk berbuat demikian.
Kerajaan PH sedang diperhatikan dengan rapi berhubung ikrarnya untuk menunaikan janji manifestonya dalam tempoh 100 hari pentadbirannya tatkala tarikh akhir tempoh itu semakin menghampiri.
Dr Mahathir berkata, bagaimanapun, beliau yakin bahawa kebanyakan yang disenaraikan dalam dokumen itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun.
Manifesto itu didraf berdasarkan apa yang diketahui PH pada waktu itu, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), hospital pakar kardium dan vaskular swasta di sini, hari ini.
“Tetapi apabila kami mengambil alih (kerajaan) kami dapati situasinya lebih teruk, lebih banyak wang telah dipinjam,” katanya dan menurutnya kerajaan mendapati ia bekerja dalam persekitaran yang tidak sesuai dengan apa yang ia mahu lakukan.
Dr Mahathir juga berkata kerajaan perlu mendraf undang-undang tertentu dan membentangkannya di Parlimen – satu proses yang memerlukan masa – untuk menunaikan janji pilihan rayanya.
Berhubung lawatannya ke China, Dr Mahathir berkata ia bertujuan memperkukuh hubungan antara Malaysia dan negara berkenaan.
“Negara pertama yang saya (sepatutnya) lawati ialah China tetapi ada masalah-masalah lain yang menghalang saya pergi ke China lebih awal,” kata perdana menteri.
Dr Mahathir akan melakukan lawatan rasmi ke China dari 17 hingga 21 Ogos atas undangan rakan sejawatannya, Li Keqiang. – BERNAMA