KUALA LUMPUR – Perpustakaan KopGroep Bibliotheken (School 7) di Belanda meraih Anugerah Perpustakaan Awam Terbaik Tahunan oleh Persekutuan Perpustakaan dan Institusi Antarabangsa (IFLA).
Anugerah itu yang mengambil kira perpustakaan awam baharu dengan seni bina luar biasa, perkhidmatan, sistem dan budaya, telah disampaikan kepada Pengarah School 7, Jacinta Krimp semasa Kongres Perpustakaan dan Maklumat Dunia (WLIC) 2018 di sini.
Terletak di bandar Den Helder, School 7 dipilih kerana perpustakaan itu menggabungkan seni bina lama dan baharu yang unik.
Menurut Jacinta Krimp, perpustakaan yang dibuka secara rasmi pada April 2016 telah berjaya mengintegrasikan dengan persekitaran dan secara aktif telah bekerjasama dengan teater, kafe dan universitri tempatan.
“Kami berjaya menggabungkan bangunan yang dibina pada 1905 untuk menjadi sebahagian daripada perpustakaan baharu kami dan kami juga rapat dengan komuniti tempatan dengan banyak acara membabitkan penyertaan masyarakat telah diadakan,” katanya.
“Hari ini perpustakaan kami menjadi venue bagi acara perkahwinan dan kami juga mempunyai teater dan kelas bahasa untuk rakyat asing,”kata beliau selepas menerima anugerah tersebut.
Menurut IFLA, ttahun ini sahaja, sebanyak 35 perpustakaan dari 19 negara di seluruh dunia telah memohon untuk dicalonkan bagi menerima anugerah itu. – BERNAMA