KLANG – Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Klang, Charles Santiago mempersoalkan hasil kaji selidik yang diperoleh di media sosial berhubung pandangan rakyat keatas prestasi kerajaan “Malaysia Baharu”.
Beliau berkata, kaji selidik oleh firma tinjauan pendapat awam, Merdeka Center jelas berbeza dengan hasil kaji selidik yang dijalankan di media sosial terbabit.
“Hasil kaji selidik ini bercanggah dengan hasil kaji selidik Merdeka (Merdeka Centre) yang mana mendapati dua pertiga daripada mereka (rakyat) berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Klang antara pemimpin PH yang paling lantang mempertahankan hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia.
Beliau memuat naik laporan sebuah portal berita yang menyebut majoriti rakyat Malaysia menyuarakan rasa tidak gembira dengan kerajaan PH melalui kaji selidik yang dijalankan di media sosial di laman Facebook.
Secara keseluruhan, lebih 200,000 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik di media sosial yang dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk syarikat akhbar dan laman Facebook pro-Pakatan Harapan.
Hasil kaji selidik Merdeka Centre pula mendakwa 67% rakyat Malaysia berpuas hati dengan kerajaan PH dengan majoriti mereka adalah kaum India, diikuti Cina dan terakhir orang Melayu.
Enam daripada 10 rakyat Malaysia didakwa menyatakan rasa puas hati mereka dengan cara kerajaan PH mengendalikan ekonomi berbanding kerajaan Barisan Nasional, dengan 34% responden pada April.
Bagaimanapun, kaji selidik oleh Merdeka Centre cuma melibatkan seramai 1,160 responden di seluruh negara. – MYNEWSHUB.TV