KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM1.5 juta bagi menaik taraf dan memberi imej baharu di lorong-lorong kecil di sekitar pusat tarikan pelancong Bukit Bintang di sini.
Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek, Datuk Mohd Najib Mohd berkata projek pengindahan melibatkan tujuh lorong dan satu ruang awam itu bermula sejak November lepas dan dijangka siap sepenuhnya Disember ini.
Beliau berkata lokasi tapak yang terlibat ialah laluan pejalan kaki utama dan jalan pintas dari Jalan Berangan ke Jalan Changkat, Jalan Rembia, Jalan Tengkat Tong Shin, Jalan Alor dan sekitarnya.
“Setiap lokasi terlibat dirancang dan direka bentuk dengan tema tertentu, kami juga menyediakan mural 2D dan 3D pada dinding serta lantai, selain menyediakan pasu berserta pokok yang di ‘wall mounted’ pada dinding bangunan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi projek pengindahan itu hari ini.
Katanya projek pengindahan itu melibatkan kerja naik taraf infrastruktur sedia ada seperti longkang dan penurapan semula laluan yang terlibat serta pemasangan lampu pejalan kaki dan lampu dekorasi untuk tujuan keselamatan selain mencantikkan lorong belakang.
Mohd Najib berharap inisiatif itu dapat mengubah persepsi negatif orang awam terhadap lorong belakang yang sering dianggap kotor dan tidak selamat digunakan, sekali gus menjadikannya sebagai tarikan baharu di Bukit Bintang. – BERNAMA