KUALA LUMPUR – Petronas hari ini melancarkan kempen ‘Cerita Kita’ sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan memfokuskan tema perpaduan dan keharmonian menerusi kaca mata kanak-kanak.
Kempen membabitkan pelbagai platform merangkumi iklan televisyen (TV) dan pameran itu merupakan kesinambungan usaha Petronas dalam menggalakkan kesatuan dan perpaduan sosial di kalangan rakyat Malaysia.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abd Rahman berkata : “Kami berharap kempen ini berfungsi sebagai peringatan berterusan tentang apa yang menjadikan rakyat Malaysia istimewa.
“Melalui kempen ini, kami membentangkan cerita-cerita inspirasi yang memberi kesan kepada nilai-nilai yang kita biasa kongsi dan hargai, nilai-nilai yang menjadikan kita bersama sebagai sebuah negara yang unik dengan masyarakat yang bersatu, serta nilai-nilai yang membuat kita benar-benar menjadi rakyat Malaysia.”
Petronas turut mempratonton iklan khasnya untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini di majlis pelancaran kempen yang disempurnakan oleh Pengerusinya, Datuk Ahmad Nizam Salleh.
Iklan komersial 60 saat itu memaparkan gambar-gambar menarik di seluruh Malaysia yang dirakam oleh 10 orang kanak-kanak berumur antara lima dan 13 tahun.
Melalui lensa kamera mereka, terakam pemandangan harapan, cinta, ikon wira dan kehidupan keluarga di Malaysia.
Iklan tersebut boleh dilihat di semua platform media sosial rasmi Petronas mulai hari ini.
Iklan TV akan disiarkan dari 23 hingga 31 Ogos manakala dua iklan khas berdurasi 30 saat akan disiarkan mulai 1 hingga 16 September.
Galeri Petronas juga akan mempamerkan pameran seni bertajuk ‘Ceritera Kita’, yang menonjolkan benefisiari pelaburan sosial korporat Petronas dan bagaimana ia telah memberi impak positif.
Pameran percuma itu dibuka kepada orang ramai dari 16 Ogos hingga 30 September. – BERNAMA