SHAH ALAM – Polis menasihatkan peminat bola sepak yang bakal membanjiri Stadium Shah Alam di sini Sabtu ini sempena Kejohanan Piala Sultan Selangor, supaya menjaga tingkah laku dan tidak membawa sebarang bahan larangan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharuddin Mat Taib berkata antara bahan yang dilarang dibawa masuk ke stadium adalah mercun, minuman berbotol dan tin, selain penonton yang hadir digalakkan untuk tidak membawa beg galas serta beg tangan.
“Mereka yang hadir juga tidak dibenarkan membakar suar, bunga api dan mercun di dalam dan di luar stadium. Penonton diminta menjaga tingkah laku mereka dan tidak membawa budaya ‘hooligan’.
“Dianggarkan 70,000 peminat bola sepak Selangor dan Singapura akan membanjiri Stadium Shah Alam Sabtu ini dan diharap mereka dapat mengikut arahan pihak polis bagi memastikan suasana kejohanan berjalan dengan aman dan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Baharuddin, seramai 1,295 anggota polis beruniform dan berpakaian preman telah diarahkan untuk mengawal keselamatan pada hari berkenaan, antaranya anggota dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Khas, unit udara serta unit berkuda Polis Diraja Malaysia.
Beliau turut menasihati peminat untuk hadir awal ke stadium, di mana pintu akan dibuka seawal pukul 4 petang.
“Pintu A akan dikhaskan untuk peminat pasukan Singapura dan pintu B,C dan D untuk peminat Selangor. Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penyokong yang cuba menimbulkan kekecohan pada hari berkenaan,” katanya.
Menurut Baharuddin lagi, peminat yang hadir ke stadium menaiki kenderaan sendiri dinasihatkan meletak kenderaan di kawasan letak kereta yang telah disediakan dan bukan di tepi jalan bagi mengelakkan kesesakan jalan raya di kawasan sekitar stadium.
Piala Sultan Selangor yang memasuki edisi ke-17 itu bakal menyaksikan pasukan pilihan Selangor bertemu pasukan pilihan Singapura.
Kejohanan berkenaan akan dimulakan dengan sepak mula bagi perlawanan Singapore Selangor Schools Challenge Cup pada pukul 7.40 malam kemudian diikuti dengan perlawanan antara veteran Selangor dan Singapura.
Pada edisi tahun lepas, pasukan Singapura memenangi kesemua perlawanan berkenaan. – BERNAMA