RASMI… PKR terus mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis apabila calonnya, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni menang namun majoriti diraih beliau jatuh agak teruk.
Beliau hanya mampu mendapat sebanyak 15,427 undi iaitu majoriti cuma 5,842 undi berbanding sebelum ini, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiee dengan 12,480 undi ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.
Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad di tempat penjumlahan undi di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 Shah Alam malam ini.
Manakala pencabarnya, Datuk Lokman Noor Adam dari UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mendapat sejumlah 9,585 undi dan seorang calon bebas, K. Murthy pula hanya meraih sebanyak 97 undi.
Kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis berikutan penyandangnya yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggal akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas
Kawasan tersebut memiliki seramai 51,217 atau 99.97 peratus pengundi biasa layak mengundi hari ini manakala 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara. Tiada pengundi awal bagi PRK DUN Sungai Kandis.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood memaklumkan peratusan pengundi yang keluar mengundi dalam PRK DUN N.49 Sungai Kandis setakat ini ialah 49.8 peratus.
Menurut beliau, peratusan kecil tersebut merupakan angka yang tidak rasmi setakat ini. Bagaimanapun, kadar peratusan keluar mengundi itu bukan yang paling rendah dalam sejarah pilihan raya di Malaysia sejak merdeka.
Ini kerana ujar Othman, dalam PRK DUN N.12 Penanti, di kerusi Pematang Pauh, Pulau Pinang pada tahun 2009 lalu, peratusan keluar mengundi adalah paling rendah dicatatkan iaitu hanya 46 peratus.
“Kita tidak menolak kemungkinan banyak faktor penurunan peratusan pengundi. Mungkin disebabkan Pilihan Raya Umum Ke-14 baru sahaja selesai,” katanya di Pusat Penjumlahan Undi PRK DUN N.49 Sungai Kandis hari ini.
Tambah Othman, walaupun SPR sediakan kemudahan dan war-warkan agar pengundi turun awal, tetapi peratusan masih kurang. Pada PRU-14, peratusan pengundi di kerusi DUN itu mencatatkan 85.57 peratus. – Mynewshub.TV