ALOR SETAR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan pertemuan khas bersama anggota dan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kedah di Dewan Seri Mentaloon, dekat sini hari ini.
Beliau yang juga pengerusi parti itu tiba pada 4.20 petang disambut Menteri Besar Kedah merangkap Timbalan Presiden PPBM dan turut merupakan anak beliau sendiri iaitu Datuk Seri Mukhriz.
Pertemuan itu diadakan secara tertutup dan pengamal media dimaklumkan bahawa tiada sidang media selepas pertemuan tersebut.
Malam ini Mahathir dijadual menghadiri majlis Jelajah Malaysia Baharu di Dataran Stargate bersama barisan pemimpin Pakatan Harapan (PH) antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; serta Presiden PAN, Mohamad Sabu.
Ini merupakan jelajah pertama PH selepas membentuk kerajaan Mei lalu. – BERNAMA